Isu sepanjang hari mengundi sengaja disensasikan - Utusan Malaysia

Isu sepanjang hari mengundi sengaja disensasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pelbagai isu yang tular sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah, berkata, misalnya isu mengenai kertas undi tidak dicop yang dikatakan berlaku di sebuah Pusat Mengundi, SPR telah membuat semakan dan mendapati ianya tidak berlaku seperti mana ditularkan.

“Namun, jika berlaku kesilapan itu, ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang.

“Sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati dan ia merupakan kesilapan petugas dalam salurannya , maka beliau tidak boleh menolak mana-mana kertas undi yang telah dikeluarkan secara sah,” katanya pada sidang akhbar di Menara SPR di sini hari ini.

Mohd. Hashim berkata, pihak SPR juga akan menyiasat masalah kelewatan penghantaran undi pos yang menyebabkan pengundi tidak menerima kertas undi atau lewat diterima.

Mengulas mengenai isu pengundi yang terpaksa beratur panjang pula, Mohd. Hashim berkata, pengundi keluar serentak dalam satu masa menjadi antara punca kesesakan sesetengah tempat mengundi.

“Ramai pengundi memilih untuk mengundi pada awal pagi, proses pengundian dilaporkan berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 55 peratus setakat pukul 1 tengah hari tadi.

“Kesesakan itu juga dipercayai berpunca daripada mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tiada orang lain mengundi menggunakan nama mereka,” katanya.

Tambah beliau, sebelum ini SPR telah menasihati pengundi supaya merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang.

“Perasaan atau ‘mood’ pengundi pada PRU kali ini dilihat berbeza apabila kebanyakan mereka teruja untuk mengundi seolah-olah ada satu perayaan besar-besaran yang disambut,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan berkaitan video remaja membawa kertas undi palsu di Port Dickson Negeri Sembilan yang tular, beliau menjelaskan perkara sedemikian tidak mungkin berlaku dan bagaimana kertas undi tersebut hendak dicetak.

Kata beliau, difahamkan terdapat kes pengundi meninggal dunia ketika proses pengundian dan kejadian itu berlaku di luar jangka dan SPR telah mengambil tindakan sewajarnya dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×