REMBAU 9 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mahu siasatan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran serangan panggilan ‘spam’ yang diterimanya sejak pukul 10 pagi hingga 1.48 petang ini.
Apa yang menjadi tanda tanya ujarnya ialah motif pihak terbabit memandangkan sasaran mereka adalah calon-calon yang bertanding terutama daripada BN.
Selain dirinya beliau berkata, dua calon BN iaitu Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Sepanggar) turut menjadi sasaran penggodam.
“Itu yang saya kesalkan apabila pihak pembangkang menuduh BN melakukan perbuatan ini apabila terdapat pemimpin mereka yang menjadi sasaran panggilan spam seperti yang dilaporkan dalam media sosial.
“Sedangkan saya sendiri dan beberapa rakan dalam BN juga menjadi mangsa panggilan spam. Akibatnya telefon saya tidak berfungsi selama beberapa jam,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian serangan teknikal secara dalam talian yang diterima ramai pemimpin BN pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini.
Terdahulu beliau menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong kira-kira 2.45 petang.
Khairy berkata, berdasarkan semakannya serangan bermula kira-kira pukul 10 pagi dan nombor telefon yang tertera kebanyakannya dari luar negara seperti Amerika Syarukat (AS), United Kingdom, Jerman, India, Iran, Singapura tidak terkecuali Malaysia.
“Berdasarkan rekod panggilan bermula pukul 10 pagi setiap 30 saat saya menerima panggilan sehingga pukul 1.48 petang.
“Saya ada jawab salah satu panggilan dan mereka kemudian suruh saya tinggalkan rakaman. Lepas itu saya terus tutup telefon,” ujarnya.
Menjawab satu soalan Khairy berkata, telefonnya telah pulih seperti sedia kala selepas pukul 1.48 petang,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE









