SEBERANG PERAI – Biarpun baru sembilan hari melahirkan anak, seorang wanita sanggup memandu sendiri keretanya dari rumah di Taman Sepadu menuju ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Chee, Tasek Gelugor di sini pagi tadi.
Jurujual, Tan Kwok Chai, 37, yang melahirkan anak keenam menerusi pembedahan berkata, dia sanggup mengetepikan kesakitan kerana beranggapan undinya bakal mencorak masa depan negara.
“Peluang ini hanya tiba lima tahun sekali. Walaupun sedang sakit kerana melahirkan anak secara pembedahan, tetapi saya menguatkan diri untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah itu.
Kwok Chai yang ditemani anak perempunnya, Lum Ke Ying, 10, terpaksa bergilir ke pusat mengundi kerana suaminya terpaksa menjaga lima lagi anak mereka di rumah.
Dia merupakan pengundi bagi Parlimen Tasek Gelugor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan. – K! ONLINE










