KUALA TERENGGANU 9 Mei – Beberapa batang jalan di enam daerah di negeri ini akan ditutup secara berperingkat mulai pukul 4 petang ini bagi memberi laluan kepada penjumlahan undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, penutupan itu membabitkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Ke-maman, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
Katanya, dua jalan yang ditutup di Kuala Terengganu bermula pukul 7 malam adalah di hadapan Stadium Negeri dan Jalan Pejabat hingga Wisma Darul Iman manakala Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi daerah Kuala Nerus; Kemaman (Jalan Sulaiman, Jalan Mak Cili, Jalan Padang Astaka, Jalan Simpang 3 Wisma, Jalan Belakang Dewan MPK) dan Besut (Jalan Jerteh-Kg. Raja, lencongan Jertih, Kg. Raja-Jertih, lencongan Kg. Raja, Simpang 3 Haji Wan Latiff).
“Di Dungun pula penutupan dijangka bermula pukul 4 petang selepas selesai pengumuman keputusan PRU-14 membabitkan empat jalan iaitu jalan tepi pagar SMK Seri Dungun, sepanjang Jalan Merbok, Bulatan Sultan Omar dan Jalan Pejabat manakala jalan dari lampu isyarat Majlis Daerah Hulu Terengganu dan lencongan bulatan Kam-pung Buloh di Hulu Terengganu akan ditutup pada pukul 4.30 petang.
“Tiada penutupan di daerah Marang dan Setiu bagaimanapun sekiranya berlaku kesesakan dan gangguan lalu lintas di Setiu, polis akan bertindak untuk menutup jalan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE










