KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sekali lagi diingatkan supaya hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum 11 September depan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, Musa tidak boleh bertangguh dan perlu segera menyempurnakan proses angkat sumpah sebelum tarikh berkenaan atau kerusi DUN Sungai Sibuga diisytiharkan kosong.
“Biarpun sebelum ini diperkatakan beliau (Musa) memohon untuk menangguhkan tempoh angkat sumpah tetapi undang-undang wajib dipatuhi.
“Arahan mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan ini adalah selaras dengan Undang-Undang dan Perlembangaan Negeri Sabah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Abas memberitahu, tiada layanan istimewa diberikan kepada bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah terbabit.
“Kini Musa sudah kembali ke Malaysia dan beliau boleh hadir pada bila-bila masa untuk mengangkat sumpah sebelum 11 September atau diawalkan memandangkan pada tarikh tersebut merupakan cuti umum (Maal Hijrah),” jelasnya.
Musa berusia 67 tahun kini sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Selangor sebaik selamat tiba di negara ini pada pukul 6.45 petang, kelmarin.
Musa sebelum itu dikatakan berada di Hospital Mount Elizabeth di Singapura bagi menjalani rawatan berkaitan pembedahan pintasan jantung.
Sebelum meneruskan rawatan di Singapura, Musa terlebih dahulu menjalani rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom (UK). – K! ONLINE











