JAKARTA 23 Ogos – Perenang negara, Phee Jinq En melangkah ke saingan akhir acara 50 meter kuak dada wanita Sukan Asia 2018 bersama rekod baharu kebangsaan di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno, hari ini.
Jinq En menamatkan peringkat saringan dengan kepantasan 31.46 saat, memadam rekod lama miliknya sendiri, 31.56s yang dilakukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.
Ini adalah rekod kebangsaan ketiga dicatat perenang negara di Jakarta selepas Welson Sim melakukannya dalam 800m gaya bebas lelaki, Isnin lalu dengan masa 8 minit 12.46 saat, diikuti kuartet 4x100m gaya bebas lelaki menerusi 3:21.06s semalam.
Catatan itu melayakkan Jing En beraksi dalam perlumbaan akhir yang berlangsung petang ini selaku perenang kelima terpantas keseluruhan.
“Saya akan cuba melakukan catatan lebih baik dalam perlumbaan akhir, apa pun saya gembira dengan rekod baharu yang diraih pada peringkat saringan,” kata Jinq En.
Dalam saingan 100m gaya bebas, Welson menamatkan cabaran di tangga ke-14 dengan masa 50.34s, manakala Keith Lim yang mencatat 50.73s di tangga ke-20.
Bagi acara 50m kuak kupu-kupu lelaki, Chan Jie sekadar menamatkan saingan di tempat ke-21 keseluruhan dengan catatan 24.967s. – UTUSAN ONLINE











