KUALA LUMPUR 23 Ogos – Pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dilihat sebagai hukuman kepada rakyat Pantai Timur yang memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melepaskan dendam mereka kepada penduduk Pantai Timur di atas keputusan mereka menolak PH sewaktu PRU-14.
“Kita faham jika kerajaan PH ingin membuat kajian tentang kos dan sebagainya, tetapi membatalkan terus ECRL adalah keterlaluan.
“Saya harap jangan hukum rakyat di Pantai Timur hanya kerana perbezaan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu lawatan kerja ke Beijing, China mengumumkan projek ECRL dibatalkan.
ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, dilancarkan tahun lepas, dijadualkan siap pada 2024.
Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu digantung sejak Julai lalu. – UTUSAN ONLINE











