JOHOR BAHRU: Johor pernah menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti itu tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH).
PH ketika itu disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN hanya meraih 19 kerusi dan Pas pula satu kerusi.
Kemenangan PH di kubu kuat UMNO dan BN disebabkan beberapa faktor antaranya sentimen rakyat menolak kepimpinan parti pemerintah dan pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad serta kerjasama mantap parti pembangkang ketika itu..
Namun usia PH di Johor hanya mampu bertahan 22 bulan susulan perubahan landskap politik apabila Bersatu membentuk perikatan baharu bersama BN dan Pas di bawah nama Perikatan Nasional (PN).
Kejayaan perikatan baharu itu juga belum kukuh kerana kelebihan dua kerusi sahaja. Johor mempunyai 56 kerusi DUN dengan PN mempunyai 29 kerusi manakala PH 27 kerusi. Jika seorang wakil rakyat PN bertindak menyertai PH, kerajaan negeri akan tumbang kerana majoriti mudah adalah 29 k erusi.
PH masih ada peluang untuk merampas semula Johor daripada PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun sejauh mana kekuatan yang ada pada mereka ?.
Menurut sumber PH, pihaknya tidak boleh memberi keyakinan 100 peratus merampas semula kerajaan, namun tidak menolak kemungkinan terjadi sebaliknya dengan melihat kekuatan PN yang goyah.
Katanya, rakyat boleh menilai sejauh mana pencapaian PH walaupun tempoh singkat sepanjang menerajui kerajaan negeri.
“Berbanding PN, mereka kini masing-masing mengejar kedudukan jawatan sama ada untuk merebut jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun ahli majlis daerah. Kini pula merebut kerusi kawasan pilihan raya.
“Ketika kami memerintah, perkara seperti ini tidak berlaku malah lebih memfokuskan untuk membantu rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dianjurkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber memberi contoh kejayaan PH melibatkan tender terbuka, air percuma, penghapusan kuota menegak kerajaan (KMK), Kad Sihat Johor dan insentif kursus perkahwinan percuma.
“Negeri Johor di bawah pemerintahan PH berjaya meningkatkan rizab tunai negeri dari RM3 billion pada 2018 bertambah kepada RM3.068 billion, tahun lalu,” katanya.
Katanya, berdasarkan rekod pencapaian itu rakyat boleh menilai antara kaca dan permata dalam melihat sejauh mana kemampuan PH dan PN mentadbir kerajaan.
Namun menurutnya, paling penting adalah merencanakan strategi dalam pilihan raya akan datang termasuk agihan kerusi antara Amanah, PKR dan DAP.
“Benda ini kami dah sedia. Cuma tunggu sahaja pengumuman pembubaran DUN, kami boleh masuk ‘gear’ lima.
“Apa strateginya? Tunggu dan lihat. Kalau cakap sekarang bukan nama strategi lagi,” katanya. – HABIS










