KUALA LUMPUR 24 Nov. – Kapten Malaysia, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak berkata, dia tidak kisah bagaimana jaringannya terhasil ketika membantu Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala AFF dengan mengalahkan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Penyerang Pahang, Norshahrul Idhlan Talaha membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-26 selepas menolak bola percubaan Mohamadou Sumareh yang terkena palang.
Zaquan kemudian menjadikan kedudukan 2-0, tiga minit memasuki waktu kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti selepas Safawi Rasid dijatuhkan oleh pemain lawan.
Malaysia melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-88, namun cara jaringan itu terhasil agak melucukan apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena bahagian tepi muka Zaquan sebelum melantun ke dalam gawang.
“Macam yang saya cakap tadi, rezeki Allah tidak salah tempat, tidak salah waktu…Kepala ke lutut ke bola tetap masuk.
“Apa orang nak komen terpulang. Bagi saya, kalau kita usaha, saya tahu benda yang baik akan mendapat balasan baik,” kata Zaquan kepada pemberita.
Ini adalah jaringan ketiga Zaquan sepanjang kempen Piala AFF 2018, sekali gus membantu Malaysia muncul naib juara Kumpulan A di belakang Vietnam, yang membenam Kemboja 3-0 dalam satu lagi perlawanan di Hanoi.
Menanti Malaysia dalam separuh akhir nanti adalah juara Kumpulan B, sama ada Thailand, Filipina atau Singapura. – UTUSAN ONLINE










