ICERD: NGO Melaka tetap berhimpun nyatakan bantahan - Utusan Malaysia

ICERD: NGO Melaka tetap berhimpun nyatakan bantahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 24 Nov. – Walaupun kerajaan semalam mengumumkan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), lebih 2,000 orang berhimpun dan berarak di negeri ini malam ini sebagai tanda protes atas cubaan mengganggu-gugat keamanan di negara ini.

Himpunan Bantah ICERD anjuran bersama Sekretariat Himpunan Suara Ummah Melaka; Pergerakan UMNO dan Pas negeri serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berarak dari Masjid Kampung Hulu ke Dataran UTC di Jalan Hang Tuah di sini bermula pukul 8.30 malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek.

Menurut Kamaruddin, pihaknya akan meneruskan bantahan pelaksanaan ICERD sehingga tarikh kemuncak pada 8 Disember depan selagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan yang tegas berhubung isu itu.

“Himpunan pada malam ini menjadi contoh kepada kerajaan PH agar tidak meneruskan ICERD dan kami mahu pembatalan ratifikasi ini diputuskan di Parlimen dan bukan melalui kenyataan media yang meragukan.

“Surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu kita tidak tahu siapa sumbernya dan untuk itu kita akan bantah ICERD selagi kerajaan tidak membuat keputusan yang konsesus,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan itu di Dataran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka di sini malam ini.

Sementara itu Mohamad Ali dalam sidang akhbar yang sama berkata, isu ratifikasi ICERD ini dibangkitkan di Parlimen dan untuk itu ia mesti diputuskan di Parlimen dan bukannya melalui kenyataan akhbar.

“Sepatutnya ICERD bukan ditangguhkan tetapi dibatalkan terus namun kenyataan akhbar yang dibuat hanya menyebut tidak akan melaksanakan ICERD, mungkin ia akan dilaksanakan selepas ini,” tegasnya.

Katanya, meskipun keputusan kerajaan PH semalam itu melegakan semua umat Islam, namun himpunan malam ini akan terus mendesak supaya ICERD dibatalkan dan bukannya ditangguh kerana ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN