Teraju UMNO Terengganu bertukar awal tahun depan? - Utusan Malaysia

Teraju UMNO Terengganu bertukar awal tahun depan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 24 Nov.- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang baharu dijangka akan dilantik mulai awal tahun depan bagi memberi nafas baharu dan memacu kebangkitan semula parti yang lesu itu di negeri ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi bayangan tersebut selepas beliau mengesahkan akan melepaskan jawatan yang dipertanggungjawab kepadanya
dalam waktu terdekat.

Naib Presiden UMNO itu yang mengambil alih jawatan daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 14 Julai lalu mengakui adalah lebih sesuai tugas dan tanggungjawab itu digalas oleh anak negeri sendiri yang lebih memahami keadaan setempat.

“Saya bercadang dalam masa terdekat ini, boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya tanpa memberikan sebarang bayangan siapa bakal pengganti.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Ibu Pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira lebih dua jam bermula pukul 3 petang ini dihadiri kesemua lapan Ketua UMNO Bahagian termasuk Datuk Din Adam (Ketua UMNO Dungun) yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selain bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ditanya bila penyerahan tugas itu dijangka dilakukan, Mahdzir bagaimanapun tidak menjelaskan perkara itu namun menambah, “ tunggulah tiba masa yang sesuai nanti.”

Menyentuh sama ada cadangannya untuk menyerahkan jawatan atas desakan mana-mana pihak, beliau berkata, tiada masalah yang berlaku dalam badan perhubungan UMNO negeri sebagaimana didakwa.

“Semua ini atas dasar perasaan (semangat) sesama kita dalam UMNO yang kita tanam dalam perhubungan, saya rasa lebih sesuai kepemimpinan datang daripada anak negeri ini (Terengganu) sendiri.

“Mereka lebih faham untuk uruskan masa depan parti di negeri ini dan bagaimana untuk berdepan dengan pilihan raya (akan datang). Adalah lebih baik kita ada perancangan awal,” jelasnya.

Pelantikan Mahdzir sebelum ini telah menimbulkan sungutan kalangan ahli parti di negeri ini dengan tanggapan seolah-olah tiada pemimpin tempatan yang boleh diberikan kepercayaan.

Difahamkan Ahmad Said yang mendapat sokongan sebahagian besar Ketua UMNO Bahagian bahagian akan mengambil alih jawatan itu yang pernah disandang sebelum diserahkan kepada Ahmad Razif, namun Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu enggan memberi sebarang ulasan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN