ADEN 21 Nov. – Dianggarkan 85,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dipercayai telah mati akibat kekurangan nutrisi yang teruk sepanjang berlaku peperangan di Yemen selama tiga tahun.
Jumlah itu bersamaan dengan bilangan keseluruhan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Birmingham iaitu bandar kedua terbesar di United Kingdom (UK), kata sebuah badan kebajikan Save the Children yang dipetik BBC.
Badan kebajikan itu memaklumkan angka berkenaan diperoleh berdasarkan data kadar kematian bagi kes-kes tidak dirawat termasuk kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
PBB pada bulan lalu memberi amaran bahawa 14 juta penduduk Yemen kini berdepan krisis kebuluran.
Peperangan di Yemen bermula pada 2015 apabila pasukan tentera pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi melancarkan siri serangan udara menentang kumpulan militan Houthi, selain menyebabkan Presiden negara ini, Abdrabbuh Mansour melarikan diri ke luar negara.
Sekurang-kurangnya 6,800 penduduk awam terbunuh manakala 10,700 yang lain cedera dalam peperangan itu.
Pertempuran dan sekatan yang dilakukan pasukan tentera pakatan juga menyebabkan 22 juta orang terjejas dan memerlukan bantuan kemanusiaan, sekali gus mewujudkan krisis keselamatan makanan terbesar dunia.
Yemen sebelum ini turut dilanda wabak kolera yang menjejaskan kira-kira 1.2 juta penduduknya.
Pasukan petugas bantuan kemanusian di Yemen memaklumkan bahawa adalah sukar untuk menentukan angka kematian sebenar kerana hanya separuh daripada kemudahan kesihatan di negara ini yang masih berfungsi dan penduduknya yang miskin tidak mampu untuk mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, Save the Children juga mendakwa bahawa beberapa sekatan yang dilakukan oleh pasukan tentera menyebabkan lebih banyak penduduk Yemen terdedah kepada krisis kebuluran terutamanya selepas pelabuhan bandar Hodeidah menjadi lokasi pertempuran sengit antara kumpulan militan Houthi dan tentera kerajaan Yemen.
Jelas badan kebajikan yang berpangkalan di UK itu, berdasarkan kajian terdahulu, sekiranya masalah kekurangan nutrisi teruk tidak ditangani segera, sekurang-kurangnya 20-30 peratus kanak-kanak akan meninggal dunia setiap tahun.
“Kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan nutrisi terpaksa melalui fasa yang sangat menyeksakan ketika organ utama mereka kehilangan fungsi secara perlahan-lahan dan akhirnya berhenti.
“Sistem imun mereka juga sangat lemah sehingga mudah terkena jangkitan kuman,” kata Pengarahnya, Tamer Kirolos.











