BEIJING 19 Nov. – Sebuah bandar di wilayah autonomi Xinjiang mengarahkan penduduk yang dipengaruhi unsur pelampau, pengganas dan pemisah selain mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas luar negara atau menjalankan amalan konservatif Islam supaya menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Menurut notis yang dimuat naik dalam akaun media sosial milik kerajaan tempatan bandar Hami itu, mereka yang menyerah diri kepada badan kehakiman dalam tempoh 30 hari dan mengakui jenayah itu akan dilayan dengan baik dan mungkin dapat mengelak daripada dikenakan hukuman.
“Semua individu yang terlibat dalam jenayah pengganas dan dipengaruhi oleh ‘tiga kuasa jahat’ diminta supaya menyerahkan diri kepada badan kehakiman dalam masa 30 hari dan mengaku serta menyerahkan bukti jenayah anda,” kata notis itu, semalam.
Kata notis itu, tindakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas dari luar negara dan mengamalkan amalan konservatif Islam memerlukan individu berkenaan menyerah diri mereka.
Mengajak supaya hidup berlandaskan ajaran al-Quran sepenuhnya, meminta orang lain tidak lagi menonton televisyen, melarang minum minuman keras, merokok dan menari pada majlis perkahwinan, merupakan antara yang disenaraikan sebagai kelakuan yang wajar dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Senarai itu juga termasuk penolakan terhadap sistem pengenalan kerajaan dan sistem perumahan kerajaan, subsidi dan rokok dengan menganggapkannya sebagai perkara yang haram atau dilarang.
“Mereka yang tampil pada masa seperti ditetapkan akan dilayan dengan baik dan jika maklumat berkenaan memberikan petunjuk penting, mereka mungkin terlepas daripada semua hukuman,” kata notis itu.
Pada Ogos lalu, sebuah panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mereka menerima banyak laporan bahawa lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti lain ditahan dalam premis menyamai sebuah kem tahanan besar di Xinjiang.
China menjelaskan bahawa mereka tidak menguatkuasakan tahanan secara sewenang-wenangnya dan pendidikan semula politik.
Selain daripada penahanan besar-besaran, kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa bahawa kerajaan China semakin ketara mengenakan sekatan terhadap aktiviti keagamaan di wilayah itu. – REUTERS











