JOHOR BAHRU 19 Nov. – Mahu terus memartabatkan syiar Islam antara pendekatan yang mahu dilaksana Datuk Yahya Ahmad, 51, selepas dilantik menjadi Mufti Johor yang baharu berkuatkuasa pada 13 November lalu.
Lantikan Yahya yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Mufti Johor selama tujuh tahun atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas mufti sebelum ini, Datuk Tahrir Samsudin yang bersara.
Berikutan itu, Yahya mahu segala keputusan yang diambil melalui perbincangan secara bersama-sama.

“Perkara yang mustahak sekali dalam memastikan usaha memartabatkan syiar Islam menerusi pendekatan syura adalah bagi membolehkan semua pihak berfaham-faham dalam segala tindakan dan keputusan dilaksanakan.
“Di situ kita akan berbincang dari semasa ke semasa terutama perkara-perkara yang perlu kepada fatwa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau yang berasal dari Simpang Rengam berkhidmat dengan kerajaan negeri sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 1992 mahu meneruskan segala usaha yang dijayakan mufti terdahulu.
“Pertama sekali dalam melaksanakan tugas membabitkan hal ehwal agama Islam, saya akan melangsungkan apa yang dilaksanalan bekas mufti terdahulu selain dalam perkara-perkara yang diperkenan tuanku.
“Saya akan berusaha memastikan syiar Islam di Johor berkembang, akidah umat Islam dipelihara, selain syariat dan akhlak Islam kita semarakkan di Johor,” katanya yang menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap perkenan Sultan Johor atas perlantikkannya sebagai Mufti Johor ke-12.
Beliau berkata, sebarang perkara yang akan dilakukan seharusnya melalui landasan digariskan merangkumi apa yang tertakluk di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan setiap masa di bawah perkenan tuanku.











