Ganjaran kepada pemberi maklumat - Utusan Malaysia

Ganjaran kepada pemberi maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 15 Nov. – Kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada individu yang membantu memberi maklumat berhubung ketirisan dan salah laku dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri,

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ganjaran itu akan diberikan kepada pemberi maklumat sehingga kes yang disalurkan itu dituduh di mahkamah dan terbukti bersalah.

Bagaimanapun katanya, ganjaran tersebut adalah tertakluk bagi kes-kes yang dilaporkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Integriti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ganjaran ini adalah sebagai galakan kepada semua pihak untuk membantu kerajaan negeri dalam menangani kes-kes berkaitan integriti dan salah laku.

“Ini juga sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk tidak sekali-kali berkompromi atas apa juga isu yang berkait dengan integriti dan akauntabiliti,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak bertemakan ‘Integriti dan Akauntabiliti Tonggak Kelestarian Pengurusan Berkualiti’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Mengulas lanjut dalam sidang akhbarnya, Ahmad Faizal berkata, insentif kepada whistleblower’ atau pemberi maklumat akan diperincikan selain bentuk aduan yang bukan sahaja boleh dibawa kemuka pengadilan tetapi pada masa sama dapat memperbaiki dan meningkatkan produktiviti dan integriti kerajaan negeri.

Tambahnya, langkah itu bagaimanapun bukan bermaksud membina budaya kerja yang tidak sihat dimana penjawat awam hilang fokus kepada perkhidmatan kerana ‘mengintai’ perlakuan dan kesalahan rakan sekerja.

“Saya perlu tegaskan dan fahamkan penjawat awam, jika ada perkara yang boleh merosakkan organisasi dan membinasakan negara, maka ia perlu dihentikan dengan cara mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini yang kita perlu tanamkan dalam setiap diri penjawat awam, bukannya masuk kerja untuk mencari kesalahan. Saya bimbang kalau kita sebut insentif maka dia (penjawat awam) akan mengintai kesalahan orang dan ini tidak betul.

“Sebaliknya, aduan itu apabila mendapati rakan sekerja melakukan kesalahan yang boleh merosakkan organisasi dan membinasakan negara. Ini yang perlu diambil tindakan,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×