JAKARTA 15 Nov. – Seorang wanita sanggup merakam gambarnya memakai busana perkahwinan biarpun tanpa pengantin lelaki.
Hal ini kerana, tunang Intan Syari iaitu Rio Nanda Pratama terkorban dalam nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu.
Intan dan Rio dijadual berkahwin pada 11 November lalu namun hasrat pasangan tersebut tidak kesampaian.
Oleh hal yang demikian, Intan ingin memenuhi hasrat terakhir tunangnya dengan memakai busana perkahwinan yang mereka pilih sebelum ini.
“Biarpun saya masih bersedih dengan apa yang berlaku, namun saya perlu senyum untuk awak. Saya tidak boleh bersedih, sebaliknya perlu terus kuat seperti yang awak selalu beritahu saya,” tulis Intan dalam akaun Instagramnya seperti yang dipetik BBC.
Intan memaklumkan sebelum tunangnya menaiki pesawat tersebut untuk pulang ke Pangkal Pinang, Rio bergurau menyatakan bahawa Intan perlu mengambil gambar memakai baju pengantin dan menghantar gambar itu kepadanya.
Rio yang merupakan doktor perubatan juga pernah memberitahu Intan bahawa sekiranya dia tidak dapat pulang pada hari pernikahan mereka, Intan perlu juga memakai baju pengantin yang mereka pilih, mengenakan alat solek dan memegang bunga ros putih.
Menerusi Instagramnya, Intan memberitahu bahawa dia sudah mengenali Rio sejak 13 tahun lalu dan merupakan cinta pertamanya.
Rakan Intan yang mengambil gambar pasangan tersebut turut menceritakan bahawa Intan dan Rio sudah mula berkawan sejak mereka di bangku sekolah dan seterusnya merancang untuk berkahwin dan memilih baju pernikahan mereka.
Jenazah Rio dikenal pasti menerusi cap jarinya ketika ditemuakan pada 6 November lalu dan urusan pengebumian dilakukan dua hari kemudian.











