Pelaksanaan model subsidi bersasar perlu dibuat secara berperingkat supaya matlamatnya untuk meringankan beban rakyat dapat dicapai.
Ketua Bahagian Pendidikan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohd. Azmi Abd Hamid berkata, subsidi itu merupakan alat untuk membantu rakyat yang berhadapan dengan tekanan hidup dan tidak harus dipolitikkan.
“Saya merasakan bahawa subsidi ini ialah salah satu daripada yang disebut sebagai alat memperbetulkan keadaan di mana ada sebahagian rakyat yang terpinggir yang hadapi tekanan hidup.
“Subsidi ini mestilah benar-benar murni untuk membantu masyarakat yang dipanggil terpinggir seperti B40 tanpa dipolitikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Wacana Sinar – Subsidi Bersasar? Ya atau Tidak, semalam.
Menurut Azmi, jika dipolitikkan matlamat untuk menyalurkan subsidi bersasar tidak akan tercapai, sebaliknya hanya memberi kesan yang tidak baik kepada rakyat yang terlalu bergantung dengan bantuan tersebut.
“Matlamat subsidi tidak akan kesampaian dan akhirnya sikap rakyat yang sepatutnya benar-benar untuk dibantu bertukar menjadi bergantungan yang berterusan.
“Ini tidak baik untuk rakyat dan amalan demokrasi di negara ini,” katanya.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid pula berkata, matlamat pemberian subsidi perlu jelas supaya fungsinya sebagai instrumen ekonomi dapat dicapai.
Dengan mengambil contoh usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri, katanya, cara itu akan menjadikan perkhidmatan penngangkutan awam lebih murah.
“Sistem harga kita sekarang sudah terherot. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada free market dan lain-lain disebabkan harga yang terherot tadi. Maka sebab itu ada subsidi seperti ini,” katanya.
Katanya, saluran subsidi tidak boleh berkekalan, namun kerajaan perlu memikirkan mekanisme yang sesuai untuk digunakan sebagai alternatif kepada subsidi.
Dalam pada itu Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz meminta supaya diperhalusi sistem yang bakal diguna pakai dalam pelaksanaan subsidi bersasar petrol bagi mengelakkan timbulnya masalah.
Katanya, jika berlaku masalah pada sistem yang dilaksanakan kemungkinan boleh mencetuskan perkara tidak diingini.
Khairul Annuar juga mencadangkan sistem tersebut dihubungkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kami berjumpa kementerian dan kami diberi peluang untuk memberi idea. Pada kami, golongan mana yang layak biarlah ia ditentukan kerajaan.
“Kalau nak guna kad pengenalan, ia agak lambat dan akan lambatkan operasi di stesen kami. Bila ada pra kelayakan, ada kad, kami tak perlu risau.
“Kami tak mahu pekerja kami kena marah pula nanti. Sistem yang ada perlu dihubungkan dengan LHDN dan JPJ,” katanya.
Selain daripada itu, katanya, pengusaha stesen minyak berharap kerajaan mencari mekanisme terbaik dalam melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol itu kerana subsidi minyak adalah isu sensitif.
Beliau bimbang, jika mekanisme diperkenalkan tidak bersesuaian ia akan menyukarkan pengusaha stesen minyak.
“Apa yang kami risau apabila kami membeli harga minyak pada harga tinggi namun perlu menjualnya dengan harga lebih rendah.
“Ia akan menganggu modal pusingan kami. Kalau boleh, kami tak mahu guna modal pusingan kami sementara menunggu rebat dari kerajaan,” katanya.











