ALOR SETAR 14 Nov. – Di sepanjang istiadat pertabalan Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah baru-baru ini, keunikan Bahtera Layang Emas yang gah menelusuri jalan raya bagi membawa baginda bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariffuntuk bertentang mata dengan puluhan ribu rakyat jelata, menjadi antara perkara yang menjadi bualan ramai.
Manakan tidak, dengan ciri reka bentuk menarik disulami aspek-aspek tradisi, bahtera diraja berwarna kuning keemasan dengan atap singgora hijau jelas menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya.
Siapa individu di sebalik semua itu? Tidak lain tidak bukan, pencipta bahtera terpanjang yang tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) itu merupakan anak jati negeri ini, Ruslin Long, 63, yang berasal dari Kampung Seberang Perak, dekat sini.
Menurut bapa kepada sembilan anak itu, air matanya hampir menitis sebaik baginda berdua melangkah menaiki bahtera tersebut di dataran berhampiran Wisma Darul Aman, bagi memulakan istiadat perarakan tersebut.
“Semuanya disebabkan rasa teruja dan puas kerana dapat berbakti kepada baginda berdua yang amat dikasihi di hari bersejarah itu.
“Tidak semua orang berpeluang berbuat begini, mempersembahkan sebuah bahtera buat baginda. Saya terlibat untuk mereka bentuk, membina dan menamakannya maka sudah tentu semua itu mendatangkan rasa yang amat mengujakan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, ini merupakan kali kedua dia terlibat dalam membina bahtera untuk istiadat diraja dengan kali pertama pada 10 tahun lalu sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Cabarannya amat berbeza dengan bahtera kali ini mempunyai saiz lebih besar dan lebih banyak perincian. Bahagian depan terutamanya kepala bahtera yang mirip kepada kepala helang serta bahagian ekor bahtera menuntut kepakaran dan kesabaran tinggi untuk dihasilkan,” katanya.
Bercerita mengenai dirinya, Ruslin berkata, dia tidak pernah menerima pendidikan formal dari mana-mana universiti atau pusat pengajian tinggi bagi membolehkannya menjadi ahli perniagaan yang kini cukup dikenali dalam bidang seni reka kreatif.
Namun hasil kerjanya yang teliti dan cemerlang membuatkan ramai pihak berterusan memberi kepercayaan kepadanya menghasilkan sesuatu termasuk astaka bagi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang diadakan di negeri ini.
“Saya fikir darah seni ini diwarisi secara turun temurun daripada arwah datuk, Ahmad Lebai Din yang memiliki kemahiran dalam bidang ukiran dan ibu, Chik Putih Ahmad.
“Jiwa seni itu kemudiannya datang kepada empat adik beradik saya dan selepas itu nampaknya, diwarisi pula oleh kesemua sembilan orang anak saya yang turut memiliki kemahiran hampir sama,” katanya.
Tambahnya, ketika kecil dia sering membuatkan abangnya menangis kerana mengambil buku sekolah saudara kandungnya itu untuk digunakan sebagai kertas lukisan.
“Memang saya minat melukis. Selain itu saya juga pernah ‘menjahanamkan’ jam mahal buatan Jerman dengan niat untuk membaikinya dan semua itu merupakan sebahagian daripada perkara yang membentuk diri saya hari ini,” katanya.
Jelasnya, pada 1984, dia pernah dihantar kerajaan ke Seoul, Korea Selatan untuk mempelajari bagaimana budaya kerja dan berniaga masyarakat di sana di bawah dasar pandang ke timur.
“Budaya mereka di sana cukup berbeza dengan kepantasan bekerja diutamakan sambil tidak mengabaikan aspek kualiti.
“Itu yang kita perlukan di sini. Seboleh-bolehnya, semua ilmu yang ada ini mahu dicurahkan kepada generasi muda dan disebabkan itu sesiapa juga yang mahu belajar atau menimba ilmu terutamanya mahasiswa universiti dan pelajar-pelajar, dialu-alukan datang bertemu saya,” katanya yang kini bertindak sebagai konsultan jualan untuk syarikat anaknya, Rapro Graphic dekat sini.











