KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kerajaan dilihat tidak mempunyai keperluan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan sewajarnya semua pihak perlu memahami dan mengiktiraf hak asasi sebenar yang menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Abdul Halim Abd. Kadir berkata, pihaknya mengambil maklum kewujudan polemik dan kegusaran mengenai cadangan ratifikasi ICERD selain mendalami setiap pandangan dan maklum balas yang diutarakan terutama oleh golongan pakar mengenai perkara tersebut.
“PUM berpandangan bahawa tiada keperluan bagi kerajaan meratifikasi ICERD yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adat budaya dan kerukunan hidup masyarakat di negara ini apatah lagi mampu memberi kesan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
“PUM juga menggesa semua pihak termasuk pimpinan kerajaan supaya memahami dan mengiktiraf hak asasi sebenar yang menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hak dan keperluan tersebut telah pun ada dan disepakati sejak merdeka dengan wujudnya kontrak sosial antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Abdul Halim, Perlembagaan Persekutuan telah mencukupi dalam mengiktiraf hak kesamarataan melalui Perkara 8 bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan sama ada konteks agama, bangsa, keturunan, tempat lahir dan jantina adalah terjamin serta menepati keperluan semasa masyarakat di negara ini.
“Inilah uniknya Malaysia dalam memacu negara dan mengukuhkan perpaduan kaum berteraskan ‘acuan Malaysia’. PUM berpendapat Malaysia tidak memerlukan campur tangan atau keterikatan dengan kuasa asing dalam menjamin keadilan dan kestabilan negara.
“Cukup untuk kita mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan dan asas pembangunan kaum dan negara Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE











