KUALA LUMPUR 14 Nov.- Bekas Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disifatkan banyak berjasa kepada golongan muda di Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah sendiri.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, tidak dapat dinafikan Tengku Adnan telah banyak berjasa dan memberi faedah terutama golongan muda untuk mendapatkan rumah mampu milik di bawah konsep Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip).
“Dimaklumkan Ku Nan (Tengku Adnan) telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akan didakwa esok atas isu penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju-pemaju atau pihak lain yang salah satunya untuk kegunaan membangunkan Rumawip, rumah bandar raya (council home) dan projek pembangunan semula perumahan awam.
“Formula subsidi silang diilhamkan oleh Ku Nan kepada pemaju yang menjadi pemangkin untuk pembangunan perumahan rakyat di Wilayah Persekutuan nampaknya dijadikan senjata oleh kerajaan untuk mendakwa beliau. Jasa beliau memberi banyak faedah kepada warga Wilayah Persekutuan terutamanya golongan muda untuk memiliki rumah mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tengku Adnan ditahan oleh SPRM hari ini selepas memberi keterangan di ibu pejabat agensi penguatkuasaan itu di Putrajaya berhubung isu penjualan tanah milik DBKL.
Difahamkan beliau turut akan didakwa esok berhubung siasatan kes berkenaan termasuk 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL lebih 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.
Dalam pada itu, Mohd. Razlan yang juga aktivis masyarakat berharap Tengku Adnan bertabah dengan dugaan yang sedang dihadapi. – UTUSAN ONLINE











