KUALA TERENGGANU 14 Nov. – Seramai 2,836 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)Ke-10 bermula Sabtu ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr . Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, daripada jumlah itu, 196 dianugerahkan ijazah doktor falsafah dan sarjana manakala baki 2,640 adalah sarjana muda dan diploma.
“Pada sidang pertama Sabtu ini akan turut berlangsung penganugerahan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad iaitu Imam Besar, Masjid Negara Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zubaidi, universiti itu akan turut menganjurkan Karnival Mahabbah selama lima hari bermula esok.
“UniSZA telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuklah sukan rakyat, mewarna, pameran, gerai jualan dan persembahan pentas.
“Kami menjemput orang ramai hadir memeriahkan lagi Karnival Mahbbah ini yang berlangsung di tapak karnival UniSZA Kampus Gong Badak,” katanya. – UTUSAN ONLINE











