LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bersedia memecah rekod kelab sebanyak £85 juta (RM463.5juta) untuk dapatkan khidmat bintang Barcelona, Ousmane Dembele ke Anfield.
Dembele telah hilang tempatnya di Barcelona selepas beberapa masalah yang timbul di kelab berkenaan dan yang terbaru, pemain sayap itu digugurkan dari skuad ketika berdepan Real betis selepas gagal menghadiri sesi latihan.
Pemain berusia 21 tahun itu menyertai The Catalan dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan sebanyak £135.5 juta (RM736.1juta) dan Barcelona telah bersedia untuk menanggung kerugian dengan melepaskan Dembele pada harga yang lebih rendah.
Sementara itu, Klopp berpendapat Dembele adalah pemain yang paling sesuai untuk menambah ketajaman jentera serangan Liverpool bagi memburu gelaran Liga Perdana England musim ini.
Pemain kebangsaan Perancis itu telah menampilkan aksi cemerlang musim ini dengan menjaringkan enam gol dan dua bantuan gol.
Namun Klopp tidak gusar dengan masalah disiplin Dembele di luar padang dan yakin dia mampu mendidik pemain muda itu untuk menjadi salah seorang penggempur yang digeruni. – Agensi











