KUALA LUMPUR 14 Nov. – Tindakan kerajaan Arab Saudi menyekat pasport, visa dan dokumen perjalanan rakyat Palestin untuk mengerjakan haji dan umrah dibantah keras dan dianggap satu bentuk penafian hak kepada umat Islam untuk mengerjakan ibadat.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, kerajaan negara itu tidak sepatutnya cuba membuat campur tangan terhadap permasalahan yang berlaku dalam isu Palestin-Israel sehingga menjejaskan perkara berkaitan agama kerana Palestin tidak mempunyai masalah politik dengan kerajaan Arab Saudi.
Dalam hal ini, pihaknya menggesa kerajaan negara ini dapat membantu dari sudut diplomatik dengan mengambil kira hubungan baik Malaysia-Arab Saudi.
“Kita menjangkakan suara Malaysia kuat untuk membantu rakyat Palestin. Tindakan kerajaan Arab Saudi dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak sepatutnya melibatkan agama.
“Ini sebagai satu petanda bahawa perjuangan rakyat Palestin ini akan mendapat perhatian seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung laporan media antarabangsa berhubung tindakan Kerajaan Arab Saudi itu sehingga menjejaskan hampir tiga juta rakyat Palestin memasuki negara itu demi menunaikan rukun Islam kelima. – UTUSAN ONLIN











