KUALA LUMPUR 14 Nov. – Projek-projek mega yang dimeterai oleh kerajaan terdahulu tidak akan dibatalkan sekiranya kerja-kerja pembangunan sudah bermula lebih lima peratus.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu akur kepada pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“Projek-projek itu akan diteruskan dengan syarat sekurang-kurangnya lima peratus daripada kerja pembangunan telah dimulakan.
“Bagaimanapun bagi projek-projek yang masih belum mencapai tahap lima peratus, kita akan melihat semula sama ada untuk teruskan, tangguh atau dibatalkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob. – UTUSAN ONLINE











