Kenakan hukuman paling setimpal jika hukuman mati dimansuhkan - AADK - Utusan Malaysia

Kenakan hukuman paling setimpal jika hukuman mati dimansuhkan – AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR 14 Nov. – Hukuman paling setimpal perlu diperkenalkan oleh kerajaan sekiranya hukuman mati berkaitan kesalahan dadah dimansuhkan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, hukuman tersebut perlu bersesuaian kerana bukan semua kesalahan dadah itu melibatkan gantung.

Beliau walau bagaimanapun tidak menyatakan hukuman setimpal atau bersesuaian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama beliau percaya, perbincangan terperinci berkaitan cadangan itu masih terus berjalan sebelum ia dikuatkuasakan.

“Jika kerajaan putuskan hukuman gantung dimansuhkan, apa sahaja kesalahan penggunaan dadah perlu dikenakan hukuman yang setimpal bagi menggantikan hukuman mati,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Bukit Cabang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai keputusan Kabinet yang memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan, termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, usaha pencegahan dadah perlu diterapkan bermula daripada kanak-kanak supaya masalah tersebut tidak berlarutan.

“Kita perlu tanamkan kepada kanak-kanak ini bahawa dadah itu najis, adakah najis itu orang hendak makan, pastinya tidak kan. Perkara itu perlu ditanam sejak awal lagi.

“Selain itu, usaha memberi pemahaman dan kesedaran perlu ditingkatkan. Saya percaya boleh, tetapi memakan masa. Soal gantung atau tidak, tidak timbul jika ada kesedaran ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek CCRC Bukit Cabang dijangka siap menjelang akhir tahun depan atau selewat-lewatnya pada 2020.

Katanya, pada masa ini, perkembangan projek bernilai RM35.2 juta itu berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

“Selain CCRC ini, dua lagi CCRC lain iaitu di Dengkil, Selangor dan Kuching, Sarawak juga sedang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×