Kedah hasrat perluas tanaman padi beras wangi - Utusan Malaysia

Kedah hasrat perluas tanaman padi beras wangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 14 Nov. – Kerajaan negeri bakal meluaskan kawasan penanaman padi untuk penghasilan beras wangi sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan pesawah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin berkata, langkah itu melibatkan daerah lain memandangkan penanaman padi wangi ketika ini hanya dilakukan di Padang Terap.

“Kita akan menggalakkan lagi pesawah padi yang berminat untuk menghasilkan beras wangi ini di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai aktiviti tambahan meningkat pendapatan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Abd. Nasir Idris (Pas-Bayu) mengenai langkah kerajaan negeri  membantu pesawah meningkatkan pendapatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Azman berkata, pesawah yang menanam padi jenis itu akan memperoleh pendapatan lebih tinggi kerana proses penghasilan beras wangi termasuk menjual padi itu boleh dilakukan oleh petani sendiri.

“Harga jualan bagi beras wangi ini adalah kira-kira RM5 sekilogram,” katanya sambil menjelaskan pihaknya turut menggalakkan penanaman padi pulut.    

“Beras pulut ini banyak diimport dari Thailand dan kita juga akan menggalakkan pesawah yang berminat untuk tanam padi pulut ini untuk mengusahakannya di luar kawasan MADA,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan bidang pertanian tambahan kepada golongan petani yang ingin meningkatan pendapatan tambahan menerusi penanaman jagung dan nenas.

“Saya masih melakukan pemantauan dan lawatan apakah produk atau tanaman yang boleh diusahakan dan diperluaskan lagi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mejar (B) Mansor Zakaria (Pas – Kuala Ketil) berhubung rancangan kerajaan negeri untuk menjamin hasil pertanian bagi menampung keperluan rakyat negeri ini.

Sementara itu, Azman memberitahu, nilai penghasilan bagi tujuh bidang pertanian kedah adalah sebanyak RM141 juta bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2018.

“Tujuh bidang pertanian terbabit adalah padi (RM48.6 juta), buah-buahan (RM72.3 juta), sayur-sayuran (RM7.1 juta), tanaman industri : kelapa, cendawan, kelulut, madu (RM10.9 juta), tanaman ladang/ kontan (RM1.4 juta), herba dan rempah ratus (RM517,303) dan florikultur (RM60,190),” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×