KUALA LUMPUR 14 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan masa untuk mengenal pasti sama ada 44 barang kemas dan perhiasan bernilai AS$14.79 juta (RM59.83 juta) milik Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) benar-benar berada di bawah jagaan dan simpanan mereka.
Peguam Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lin memberikan masa tersebut selepas Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa PDRM memerlukan masa untuk mengenal pasti kesemua barp tersebut.
Alice berkata, polis masih lagi menjalankan siasatan dan semalam seorang pegawai polis, Superintenden Foo Wei Min telah mengikrarkan afidavit mengesahkan, 12,000 barang kemas telah disita PDRM pada Mei lalu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Wei Min mengesahkan, sehingga kini siasatan ke atas barang kemas tersebut masih diteruskan dan PDRM belum dapat mengesahkan sama ada 44 barang kemas itu berada dalam jagaan PDRM dan menjadi sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang dinyatakan kerana tugas menentukannya suatu yang kompleks dan memakan masa.
Peguam N. Rajivan dan Mohamed Reza Rahim yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor pula berkata, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan selama dua hari dalam prosiding 11 Oktober lalu iaitu 4 dan 5 Mac tahun depan, dikekalkan.
Persoalan mengenai status barang kemas itu dibangkitkan oleh Chee Lin pada prosiding lalu, ketika Rajivan memohon supaya saman yang difailkan oleh pemborong barang kemas terkenal dari Lubnan terhadap anak guamnya itu, dibatalkan.
Chee Lin mengajukan persoalan tersebut memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sendiri tidak dapat memastikan kedudukan kesemua barang kemas tersebut pada tahap ini sama ada berada dalam jagaan pihak polis dan adalah sukar bagi mahkamah untuk menerima andaian dan mengatakan barang itu telah disita.
Gurupatham sebelum ini berkata, pihak plaintif meletakkan beban kepada Rosmah untuk membuktikan dakwaan wanita itu bahawa barang kemas tersebut telah dirampas dan disita PDRM. – UTUSAN ONLINE











