JOHOR BAHRU 14 Nov. – Polis berjaya menahan suami kepada seorang wanita yang menjadi mangsa leher dikelar serta ditikam di badan dalam kejadian di Kipmart, Masai pada Sabtu lalu.
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang semalam di dalam sebuah rumah di Taman Bukit Tropika dekat Ulu Tiram.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Norazam Shaari berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan terbabit.
“Siasatan polis masih lagi di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan tahanan reman akan dipohon bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, di sini malam tadi.
Kelmarin, akhbar melaporkan seorang juruwang berusia 21 tahun cedera parah apabila lehernya dikelar suaminya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam.
Mangsa yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi mendapatkan rawatan susulan.
Kejadian berkenaan tular dalam media sosial setelah pemilik akaun Facebook yang dikenali dengan nama Shasha Kamaruddin dipercayai sepupu kepada mangsa memuat naik satu video berdurasi 15 saat menunjukkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah. – UTUSAN ONLINE











