KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihatkan agar berwaspada dengan mereka yang berada di sekeliling beliau pada masa ini.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, apa yang berlaku dalam pentadbiran Dr. Mahathir ketika ini boleh dikatakan seperti lebih lalang daripada padi.
“Dr. Mahathir, waspada apa yang ada di sekeliling. Hari ini lebih banyak lalang daripada padi.

‘‘Depan mereka bercakap petah menyalahkan orang lain bagai lalang tegak tinggi lakunya kerana mereka tak mampu jadi padi, maka padi dipersalahkan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.
Selain itu, Mohamad Khir berkata, Dr. Mahathir dikelilingi oleh menteri-menteri yang hanya hebat bercakap di mulut, namun tiada tindakan diambil.
Jelas beliau lagi, para menteri yang menganggotai Kabinet Dr. Mahathir juga terdiri daripada mereka yang menolak sebarang cadangan daripada pegawai kerajaan apabila dikemukakan dasar baharu.
‘‘Kekalutan ini bertambah parah apabila Dr. Mahathir dikelilingi oleh menteri yang hebat di mulut tapi kosong tindakan, cakap lain buat lain, hasilnya haru-biru kemudian pegawai dipersalahkan, pak menteri cuci mulut, kaki dan tangan.
‘‘Bila pegawai susun cadangan dan dasar baru, pak menteri tolak mentah-mentah, kadang tak baca pun, yang keluar dari mulut mereka, ini polisi kerajaan lama, kami Pakatan Harapan ada cara kami untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,’’ katanya.











