KUALA LUMPUR 13 Nov. – Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan Kediaman Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng berkata, ia untuk menyediakan perumahan awam yang disewa sebagai penyelesaian alternatif kepada pemilikan rumah.
Katanya, walaupun skim FundMyHome bertujuan untuk meningkatkan pemilikan rumah, B40 mungkin tidak mampu untuk membayar wang pendahuluan 20 peratus yang diperlukan itu.
“Berdasarkan kajian kami, golongan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan secara jelasnya mungkin tidak dapat membeli rumah.
“Sehubungan itu REHDA mencadangkan bahawa segmen teras kumpulan ini hanya boleh menyewa melalui pembangunan REIT,” katanya dalam Persidangan Ulasan Belanjawan 2019 di sini hari ini.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh REHDA, Kediaman REIT yang dicadangkan memerlukan 1,659 hektar tanah, yang mana kerajaan akan membina satu juta unit kediaman bertingkat.
Menurut Ng, ia akan menelan belanja kira-kira RM220 bilion dalam tempoh 10 tahun (dua penggal pentadbiran kerajaan).
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) berkata, MRMA bersama Institut REHDA akan merangka keseluruhan proses bagi Kediaman REIT.
“Sebaik sahaja ia siap, kami akan menyerahkan kepada dua kementerian iaitu Perumahan dan Kewangan. Jika mereka bersetuju, maka langkah seterusnya adalah untuk pergi ke Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 4 November lalu telah melancarkan FundMyHome.Com, platform digital yang merupakan satu usaha sama bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.
Di bawah skim FundMyHome, pembeli perlu membayar wang pendahuluan sebanyak 20 peratus daripada harga pembelian untuk mendapatkan rumah mereka.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan mempelawa sektor swasta untuk membantu membina rumah mampu milik kepada rakyat.
Menurut Kenanga Research, dalam tempoh jangka sederhana, sistem itu akan melonjakkan sentimen dalam sektor hartanah tetapi bergantung kepada skala pelaksanaannya yang akan menentukan sejauh mana prestasi sektor hartanah dalam tempoh jangka panjang.











