ZURICH 13 Nov. – Syarikat Samsung sedang membangunkan sistem televisyen yang membolehkan pengguna menukar saluran siaran dan menyelaraskan kelantangan bunyi menggunakan otak.
Projek dikenali sebagai ‘Ponthius’ itu merupakan sebahagian daripada kerjasama antara syarikat tersebut dengan Pusat Neuroprostetik Ecole Polytechnique Federale de Lausanne (EPFL) di Switzerland.
Sasaran projek berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang lumpuh seperti pesakit kuadriplegia, yang hanya mampu menggerakkan leher dan kepala untuk menikmati rancangan yang diminati tanpa bantuan orang lain.
Syarikat itu telah mempamerkan prototaip sistem berkenaan semasa persidangan pembangunan di San Francisco minggu lalu, lapor portal Daily Mail.
Ketika persidangan itu, saintis kanan EPFL, Ricardo Chavarriaga berkata, semua pihak perlu memikirkan cara menyalurkan kemudahan kepada golongan yang tidak boleh bergerak atau mempunyai had dalam pergerakan mereka.
“Kita membangunkan teknologi yang semakin kompleks dan pintar tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa teknologi dihasilkan untuk dihubungkan dengan manusia,” katanya.
Sistem berkenaan menggunakan Brain Computer Interface (BCI) untuk menghubungkan penonton dengan set televisyen.
BCI bergantung kepada tutup kepala yang mempunyai sebanyak 64 penderia dan pengesan pergerakan mata.
Para saintis terbabit kini mengambil sampel gelombang otak bagi menentukan cara otak bertindak apabila manusia berminat untuk menonton.
Projek tersebut dijangka memberi laluan kepada pembangunan suatu sistem menggunakan isyarat daripada gelombang otak untuk membuat andaian dan kemudian disahkan melalui pergerakan mata.
Walaupun teknologi itu sebenarnya untuk membantu golongan kurang upaya, namun bakal mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat tidak lama lagi.
Hal demikian kerana pengguna hanya perlu menyapu gel di atas kepala masing-masing sebelum memakai topi penderia, lebih mudah berbanding menghabiskan masa mencari alat kawalan jauh yang sering tersembunyi di celah sofa.
Samsung dan EPFL juga sedang membangunkan satu lagi sistem yang membolehkan penonton berinteraksi dengan televisyen menggunakan gelombang otak.











