GAZA – Pejuang Palestin semalam melepaskan bedilan roket paling sengit ke atas Israel sejak Perang Gaza pada tahun 2014, mendorong Rejim Zionis melancarkan serangan udara terhadap stesen televisyen pergerakan Hamas dan sasaran lain.
Peningkatan konfrontasi yang menyaksikan enam warga Palestin, empat daripadanya pejuang dan seorang penduduk awam Israel terbunuh itu berisiko menggugat usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mesir dan Qatar untuk merencanakan perdamaian jangka panjang di Genting Gaza.
Hamas dan sayap bersenjata lain melancarkan lebih 400 roket atau bom mortar melintasi sempadan. Pergerakan itu turut melancarkan serangan peluru berpandu di luar jangkaan ke atas sebuah bas kelmarin yang mencederakan seorang askar Israel, kata tentera Rejim Zionis.
Hamas berkata, ia membalas serbuan komando Israel di Gaza yang mengakibatkan seorang komandernya dan enam pejuang bersenjata terbunuh. Seorang pegawai tentera Israel berpangkat kolonel turut maut dalam insiden itu.
Dalam perkembangan berkaitan, siren-siren amaran di bandar dan pelabuhan Ashkelon, selatan Israel mendorong penduduk untuk mencari perlindungan di kubu-kubu perlindungan bom. Beberapa kediaman penduduk Israel terkena bedilan roket Hamas, manakala tentera Rejim Zionis berkata, sistem antiroket Kubah Besi Israel memintas lebih 100 roket dan bom mortar.
Israel bertindak balas dengan melancarkan berpuluh-puluh serangan udara ke atas bangunan di Gaza termasuk pekarangan perisikan Hamas dan studio Televisyen Al-Aqsa, namun kakitangannya menerima amaran lebih awal supaya mengosongkan bangunan. – Reuters











