KEPALA BATAS 13 Nov. – Bermula dengan hanya dua buah masjid yang menjadi perintis pensijilan 5S di Pulau Pinang pada 2014, kini sebanyak 18 lagi masjid menerima pengiktirafan itu termasuk enam yang terbaharu tahun ini.
Ini membuktikan kesemua masjid terbabit komited ke arah transformasi pengurusan, pentadbiran dan persekitaran masjid ke arah ekosistem yang lebih produktif dan berkualiti.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus berkata, banyak impak yang ditunjukkan hasil daripada proses pensijilan itu iaitu meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kepimpinan, meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran, memperkasakan sistem penyusunan stor serta banyak lagi.
“Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengurusan masjid malah meningkatkan imej institusi itu sebagai pusat ibadat Muslim serta menjadi contoh kepada masjid-masjid lain di Pulau Pinang.
“Pada masa sama, amalan 5S ini juga akan diperluaskan ke masjid lain di negeri-negeri jiran seperti Perak, Kedah dan Perlis di bawah seliaan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara,” katanya.
Beliau berucap pada Konvensyen Persekitaran Berkualiti (QE:5S) masjid-masjid peringkat negeri di sini hari ini.
Majlis penutupan Konvensyen itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan turut dihadiri Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain.
Pada majlis itu, enam masjid menerima sijil 5S masing-masing iaitu masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Bayan Baru; Masjid Al-Ishaniah, Simpang Ampat; Masjid Jamek Sungai Gelugor; Masjid Maqbul Qaryah Teluk Kumbar; Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia dan Masjid Lahar Tabut, Penaga.
Selain itu, sebanyak enam buah masjid juga berkongsi amalan QE:5S pada konvensyen itu melibatkan kategori Masjid Kariah 5S; Masjid Negeri 5S; Masjid Pelancongan 5S; Pengurusan Kubur; Pengimarahan Masjid serta Pengurusan Masjid.
Sementara itu, Mohd. Razali berkata, sehingga September lalu, sebanyak 833 organisasi telah dipersijilkan di seluruh negara dengan 414 daripadanya dari sektor awam manakala 419 dari sektor swasta.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 115 organisasi adalah dari wilayah utara dan ini membuktikan wujudnya budaya kerja yang lebih produktif serta persekitaran yang lebih kondusif dalam kalangan organisasi mereka,” ujarnya.











