Unit Udara JBPM terbangkan Arsenal - Utusan Malaysia

Unit Udara JBPM terbangkan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 13 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang patah paha kanan selepas terjatuh dari pokok rambutan di Kampung Piyel, Pos Bihai di sini, hari ini diterbangkan oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

Arsenal Helimi, 10, terpaksa diterbangkan ke hospital itu kerana tidak boleh bangun dan berjalan selepas terjatuh dari ketinggian 3.5 meter.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Udara Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihak­nya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak pada pukul 10 pagi ini sebelum kru penerba­ngan dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang bergegas ke lokasi pada pukul 11.45 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setengah jam kemudian, pesawat Agusta Westland 139 tiba di Pos Bihai dan mengambil pesakit bersama bapanya, Helimi Angkai, 35. Helikopter itu kemudiannya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.55 tengah hari ini.

“Mangsa terpaksa diangkat menggunakan pengusung untuk dipindahkan dari helikopter ke ambulans dan seterusnya dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai,” katanya.

Tambah Mohd. Farhan, pe­nerbangan itu dikendalikan oleh juruterbang Kapten Leong Cheong Meng dan pembantu juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zukhairee Zabidi bersama tiga lagi anggota.

“Pesakit berjaya dipantau dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Krai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×