KUALA TERENGGANU – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini selepas doktor mengesahkan dia mempunyai ketumbuhan (cyst) di bahagian ovari sebelah kanan dalam perutnya.
Wan Nor Anisa Wan Zaid, 17, berkata, dia tidak menyangka sakit perut yang dialaminya sejak hampir sebulan lalu berpunca daripada ketumbuhan tersebut.
“Saya mengadu sakit perut kepada seorang guru pada Ahad lalu dan dihantar pulang ke rumah sebelum dibawa oleh kedua ibu bapa untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan.
“Selepas dirujuk ke hospital, doktor mengesahkan saya mempunyai cyst (ketumbuhan) dan terpaksa menduduki peperiksaan SPM di sini (wad HSNZ),” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di sini hari ini.
Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang itu, mengambil peperiksaan di hospital merupakan satu pengalaman baharu buat dirinya.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersyukur kerana rakan-rakan serta gurunya sentiasa memberikan kata semangat selain turut membantunya membuat ulang kaji terakhir. – K! ONLINE











