KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan partinya sedang ‘memancing’ ahli Parlimen daripada UMNO agar menyertai Bersatu.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Bersatu mewujudkan pasukan petugas khas bagi tujuan itu.
“Saya fikir jika ada ahli UMNO, baik peringkat pucuk pimpinan tertinggi mahupun peringkat bahagian, berhasrat menyertai Bersatu, itu adalah pilihan mereka.
“Parti (Bersatu) terbuka kepada semua, bukan sahaja kepada ahli UMNO tetapi juga bukan ahli UMNO atau individu yang mahu menyertai parti ini, mereka dialu-alukan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Rakyat, di lobi Parlimen di sini.
Menteri Dalam Negeri itu turut menegaskan tindakan sesetengah individu untuk menyatakan sokongan kepada parti tertentu adalah pilihan individu tersebut.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa wakil rakyat UMNO sedang dipancing oleh parti lain agar menyertai mereka.
Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus rombakan Kabinet dalam masa terdekat. Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenainya.
“Saya tidak pasti tentang perkara itu, tapi bagi saya sendiri saya tidak ada mendengarnya,” katanya. – Bernama











