KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket judi online yang menubuhkan pusat operasi berjaya ditumpaskan oleh polis dengan penahanan 118 individu termasuk seorang lelaki tempatan di sebuah banglo mewah di Lorong Gurney, Off Jalan Semarak di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pada pukul 3.50 petang itu, suspek terdiri daripada 97 lelaki dan 20 wanita warga China serta seorang lelaki tempatan.
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun dan sudah beroperasi selama enam bulan.
“Polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua set komputer, 118 unit komputer riba, 479 unit telefon bimbit, 154 kad sim dan juga wang tunai RM31,300 serta 6000 yuan (RM3617.82),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan menambah, modus operandi mereka adalah dengan menggunakan aplikasi WeChat untuk mengiklankan pautan laman web bagi bermain judi online kepada pelanggan di negara China.
“Pelanggan yang berminat akan membuat pembayaran melalui akaun WeChat Pay atau Ali Pay mereka dan sebuah kod bar akan diberikan untuk mendaftar dalam laman web tersebut.
“Dalam masa sehari, transaksi daripada pelanggan berjumlah kira-kira RM200,000 dan boleh mencecah sehingga RM6 juta dalam tempoh sebulan,” ujarnya.
Kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 kerana menguruskan tempat pertaruhan. – K! ONLINE











