LONDON – Penyerang Arsenal Danny Welbeck telah selesai menjalani pembedahan kedua di pergelangan kaki kanan hari ini.
Pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ketika The Gunners terikat tanpa jaringan dengan Sporting CP dalam saingan Liga Europa, hujung minggu lalu.
Welbeck patah pergelangan kaki kanan akibat pendaratan tidak sempurna ketika perebutan bola di udara.
Menurut pengurus Arsenal, Unai Emery, pihaknya tidak dapat memberi kepastian tentang tahap kecergasan Welbeck dan bila pemain itu dapat kembali beraksi.
“Danny kini dalam fasa penyembuhan dan akan memulakan proses pemulihan tidak lama lagi.
“Terlalu awal untuk menentukan masa yang diperlukannya untuk pulih.
“Semua pihak dalam pasukan memberikan sokongan penuh buat Danny dan kami akan memastikan rawatan terbaik buatnya dalam memastikan dia dapat kembali beraksi secepat mungkin.” – Agensi











