Rombak Kabinet kuasa Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Rombak Kabinet kuasa Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Hanya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang boleh menjelaskan kesahihan mengenai dasas-desus rombakan Kabinet Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau langsung tidak mengetahui perkara tersebut termasuk sama ada wujud perancangan mengenainya.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu. Saya tak boleh komen, awak perlu tanya kepada Perdana Menteri mengenainya sama ada betul atau tidak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara itu di bawah bidang kuasa (prerogatif) beliau,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, buat masa ini semua menteri dan timbalan menteri PH berada dalam kedudukan yang selamat kerana khabar angin itu tidak benar.

Katanya, khabar angin itu dilihat agak mustahil kerana Perdana Menteri telah memintanya supaya melaksanakan perubahan dalam kurikulum sekolah.

“Tidak masuk akal, Perdana Menteri yang meminta saya membuat perubahan yang dijangka mengambil masa satu penggal dan beliau akan melakukan rombakan,” katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri akan melakukan rombakan Kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Bersatu.

Portal itu mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.

Semalam, Maszlee mengumumkan untuk melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan penggantinya selesai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×