ALOR SETAR – Seramai 32,008 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan itu di 261 pusat di seluruh negeri ini bermula hari ini hingga 13 Disember depan.
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, seramai 27,585 daripada jumlah calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan (SBK) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
“Selain itu, terdapat seramai 1,010 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja dan sekolah perantis tentera.
“Selebihnya seramai 475 calon sekolah menengah agama negeri (SMAN), sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM (295), persendirian (1,371) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) (1,272),” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, terdapat seramai 66 calon berkeperluan khas iaitu yang mengalami masalah pembelajaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pelbagai, kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan (rabun) dan kurang upaya fizikal.
“Sekolah yang terlibat dalam kategori keperluan khas adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, SMK Megat Dewa, SMK Aman Jaya, SMK Sungai Layar, SMK St. Theresa dan SMK Sin Min,” ujarnya.
Tambahnya, pusat yang mempunyai calon paling ramai adalah di SMK Aman Jaya melibatkan seramai 484 orang manakala calon paling sedikit di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al-Islamiah, SMA Al-Islahiah Al-Islamiah dan Sekolah Menengah Akademi Islam Darul Aman yang masing-masing mempunyai 25 calon. – K! ONLINE











