KOTA KINABALU – Kerajaan negeri meminta pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan keselamatan perairan Sabah terjamin daripada ancaman luar.
“Meskipun berdepan dengan pelbagai kekangan seperti jumlah keanggotaan dan kewangan tetapi, tugas pemantauan dan kawalan di kawasan Esszone perlu dilakukan sebaik mungkin.
“Hari ini, pihak Esscom memberi taklimat mengenai beberapa langkah dan cadangan bagi memastikan perairan negeri ini sentiasa berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri taklimat di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai isu bot pam di negeri ini, Mohd. Shafie yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang memberitahu, larangan penggunaan bot tersebut masih berkuat kuasa.
“Tindakan (larangan bot pam) ini adalah untuk mengekang kemasukan warga asing termasuk meningkatkan keselamatan di perairan Esszone,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hazani menjelaskan, pihaknya bersama Jabatan Laut, Majlis Keselamatan Negara dan Pelabuhan Dermaga sedang mencari mekanisme terbaik sebelum penggunaan bot pam dijangka dibenarkan semula tahun depan.
“Antaranya cadangan mewarnakan bot pam mengikut zon sebagai contoh warna kuning untuk mereka (nelayan) di Kudat dan merah pula di Sandakan bagi memudahkan kita mengenal pasti bot tempatan ataupun asing.
“Selain itu, pasukan keselamatan juga bercadang memusnahkan bot pam nelayan asing yang didapati menceroboh masuk kawasan perairan negeri ini,” tegasnya. – K! ONLINE











