TIDAK dinafikan sama sekali, langkah penyanyi hebat, Zamani ke pentas akhir Gegar Vaganza (GV) musim kelima banyak mengundang persoalan. Mengapa dia, bukan Hetty Sarlene atau Forteen yang terhenti gegaran mereka pada Ahad lalu?
Kesilapan pada awal pusingan pertama dengan membawakan lagu Dekat Padamu (nyanyian asal Yusry KRU) membuatkan ramai yang tertanya mungkinkah persembahan kedua menyanyikan lagu Di Matamu (Sufian Suhaimi) mendapat markah tertinggi?
Apatah lagi, kesilapan lupa lirik dan nyanyian yang jelas lari tempo bukan kecil-kecil anak. Namun, keputusan adalah muktamad dan sememangnya, Zamani bergelar finalis GV5.
Bersua bicara dengan Zamani, dia menjawab mengapa kesilapan itu boleh terjadi? Benarkah dia hampir menarik diri sekali lagi dan adakah adil untuk dia bergelar finalis walaupun kesilapannya jelas? Kepada Mega HITS, vokalis kumpulan Slam ini beri penjelasan!
MEGA HITS: Boleh Zamani jelaskan, bagaimana kesilapan itu boleh terjadi?
ZAMANI: Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan situasi itu. Tiba-tiba fikiran saya kosong dan tidak dapat mendengar apa-apa. Sebab itu saya lupa lirik dan tempo nyanyian lari.
Mungkin ada yang akan berkata, itu semua alasan dan segelintir merasakan keputusan tersebut tidak adil.
Saya akui, itu memang salah saya. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuk teknikal. Apa yang berlaku silapnya datang daripada saya.
Saya sendiri terkejut dan tidak sangka dapat ke minggu akhir. Saya sudah bersedia untuk disingkirkan tetapi rezeki berpihak kepada saya.
Bila Datuk Ramli MS enggan memberikan komen usai persembahan pertama, apa yang Zamani rasa?
Sebenarnya saya sudah hampir menyerah kalah. Saya faham mengapa dia enggan memberikan komen. Saya sendiri hampa dan terkilan perkara tersebut terjadi.
Walaupun persembahan pertama banyak kesilapan, namun Zamani tetap mara ke peringkat akhir berbekalkan markah persembahan kedua. Apa yang membuatkan Zamani terus kuat untuk bertanding?
Saya rasa rugi kalau berhenti separuh jalan. Harapan peminat dan diri sendiri perlu digalas dengan penuh rasa amanah. Sebab itu saya nekad untuk memberikan persembahan terbaik untuk pusingan kedua. Alhamdulillah, rezeki saya untuk ke pentas akhir.
Lagu Di Matamu cukup beremosi, bagaimana Zamani mencari emosi dan jiwa untuk mempersembah lagu itu?
Saya tak fikir apa-apa pun, tak ada teringat kisah lama atau peribadi. Cuma saya mahu buat yang terbaik untuk tebus kesalahan pada pusingan pertama.
Setiap kesalahan potong markah – Ramli M.S
Soalan sama diajukan kepada ketua juri, Datuk Ramli MS. Hebatnya seorang legenda Zamani yang berjaya ke pentas akhir GV5 dengan hanya berbekalkan markah pada pusingan kedua.
Mengakui kesilapan yang dilakukan pada awal persembahan menyebabkan pemotongan markah yang agak tinggi, namun Ramli berkata, Zamani berjaya mengukuhkan kedudukan dengan persembahan hampir sempurna pada pusingan kedua.
“Penilaian minggu separuh akhir GV5 berdasarkan dua persembahan. Pusingan pertama, Zamani kehilangan lebih 65 peratus markah dari saya. Tapi dia berjaya mendapat markah yang tinggi pada pusingan kedua.
“Apabila dicampur markah untuk kedua-dua pusingan, dia berjaya mengatasi markah untuk tiga peserta tercorot.
“Saya beranggapan, juri lain juga memberikan markah tinggi untuk Zamani pada pusingan kedua,” katanya.
Ditanya mengapa dia enggan memberikan komen usai persembahan pertama Zamani, Ramli berkata, persembahan penyanyi itu sudah jelas kurang baik dan dia tidak mahu menambah lagi komen.
“Pada awalnya, memang nyanyiannya lari tempo dan lupa lirik. Tetapi dia masih mencuba dan menghabiskan nyanyiannya dengan agak baik. Setiap kesalahan, saya akan potong markah.
“Nyanyian Forteen dan Hetty juga banyak kesilapan. Malah, Amelina dan Noryn juga melakukan kesilapan dalam persembahannya mereka. Tunggang langgang. Tetapi apabila markah dicampur, itulah keputusannya,” katanya.










