Yang pertama dan terakhir - Utusan Malaysia

Yang pertama dan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUKUPLAH sekali! Demikian tegas Siti Saleha Mohd. Baharum mengenai watak lesbian yang dipegangnya dalam filem Tujuh yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Pasti sahaja watak tersebut sesuatu yang sensitif dalam masyarakat tempatan sementelah isu LGBT panas diperkata dan menjadi perdebatan ketika ini.

Dan akui Siti Saleha, dia tidak akan sewenang-wenangnya menerima watak sebegitu lagi kerana tidak mahu mencetuskan perbalahan dan menjadi punca dipersalah oleh khalayak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementelah kini dia sudah bergelar isteri dan pastinya tidak manis untuk dia melakonkan watak-watak panas seumpama itu, yang hanya akan mengundang kata-kata orang.

“Walaupun filem Tujuh baru kini ditayangkan, sebenarnya watak Tina yang saya bawa itu telah saya lakonkan kira-kira lima tahun lalu.

“Memang ketika itu, saya menerima watak sebegini sebagai cabaran dalam dunia lakonan saya selain cuba mempelbagaikan watak yang saya terima.

“Mungkin jika sekarang saya ditawarkan watak sedemikian, saya akan menolaknya. Filem Tujuh adalah yang pertama dan terakhir saya pegang karakter begini.

“Harapan saya agar penonton tidak memberi stigma negatif terhadap watak Tina hingga boleh memberi kesan buruk kepada orang lain. Ini hanya sekadar lakonan sahaja,” kata isteri kepada Ahmad Lutfi Azhar ini.

Mendirikan rumah tangga sejak Julai tahun lalu, Siti Saleha percaya, suaminya juga tidak akan bersetuju sekiranya dia menerima watak sebegitu dan dia menghormati pendirian tersebut.

“Semasa saya membawakan watak Tina, saya masih belum berkahwin tetapi kini tentulah saya perlu menjaga hati suami. Saya tahu suami juga pasti tidak akan bersetuju kalau saya melakonkan watak seperti itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, pelakon drama popular, Nora Elena itu turut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila pernah berhadapan dengan golongan lesbian.

Semua itu berlaku ketika dia masih di bangku sekolah dan akuinya, dia agak rimas melihatkan situasi terbabit.

“Saya belajar di sekolah perempuan dan saya tidak nafikan pernah didekati golongan itu dan perasaan saya terhadap mereka agak menakutkan,” katanya.

Selain Siti Saleha, filem Tujuh turut dibintangi Marsha Milan Londoh, Johan As’ari, Faizal Hussein, Riz Amin, Aeril Zafrel, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim dan Wan Hanafi Su.

Karya seram menggunakan latar belakang era 70-an itu menceritakan tentang kisah tragik tujuh sahabat yang mati secara misteri satu persatu selepas kematian wanita daripada keturunan Orang Asli bernama Suri.

Mahu rakan lakon lain

BERBUAL tentang perkembangan seni terkini, Siti Saleha mengakui, sekarang dia lebih senang untuk meneliti terlebih dahulu setiap tawaran karya sebelum berkolaborasi dengan pihak produksi.

Biar sudah dua tahun tidak masuk dalam set penggambaran baharu sejak drama 7 Hari Mencintaiku mendapat sambutan memberansangkan dua tahun lalu, aktres itu memberitahu, sudah tiba masanya dia memiliki hak mutlak untuk meneliti terlebih dahulu jalan cerita agar menepati piawaian yang diinginkan.

Lebih-lebih lagi watak Mia Adrianna yang dibawanya dalam drama tersebut memberi impak yang cukup besar terhadap karier seninya yang telah menjangkau angka sedekad.

“Saya sedar sudah lama tidak muncul dalam rancangan televisyen. Pun begitu, saya bukan mendiamkan diri dari dunia seni sebaliknya mahu meneliti setiap skrip yang diberi sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan.

“Saya kira saya juga mempunyai sedikit ruang dan hak untuk menentukan kemahuan diri berbanding menerima sahaja setiap tawaran hanya kerana saya tiada kerja,” katanya yang bakal muncul di slot Samarinda menerusi drama Jika Masih Ada Rindu dengan aktor Kamal Adli.

Dalam pada itu, Siti Saleha meluahkan rasa terharu apabila ada sebilangan peminat yang masih mahu melihat gandingannya dengan pelakon Syukri Yahya.

Kejayaan mereka menghidupkan jalan cerita 7 Hari Mencintaiku membuatkan ramai berpendapat, regu Siti Saleha dan Syukri antara paling cocok untuk digandingkan.

Akan tetapi lain pula reaksi empunya badan apabila Siti Saleha enggan terus berada dalam zon selesa dan hanya digandingkan dengan pelakon sama kerana kejayaan drama terdahulu.

“Mungkin bukan dalam masa terdekat untuk melihat gandingan kami. Berilah kami peluang dan ruang untuk berlakon dengan orang lain.

“Saya mahu luaskan skop kerjasama dengan pelakon lain. Rasanya Syukri pun berpendapat perkara yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×