Pameran tradisi berfesyen papar keindahan Tenun Pahang Diraja - Utusan Malaysia

Pameran tradisi berfesyen papar keindahan Tenun Pahang Diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN 13 Nov. – Pameran Tradisi Berfesyen: Tenun Pahang Diraja yang dianjurkan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dapat memaparkan keindahan busana pakaian Melayu yang terhasil daripada tekstil warisan tradisi negeri.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat negeri ini sejak 300 tahun lalu.

“Daripada kain yang dikhususkan khas kepada golongan istana, ia kini berkembang kepada satu bentuk seni halus yang menjadi simbol keunggulan status di samping mencerminkan nilai estetika si pemakai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Busana yang terhasil daripadanya kekal menjadi tradisi fesyen rakyat negeri ini khasnya dan Malaysia amnya,” titah baginda ketika menyempurnakan pameran itu di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal.

Pameran berkenaan memperagakan busana dan aksesori hiasan koleksi Tengku Puan Pahang, Didiet Maulana, Rizalman Ibrahim, Sharifah Kirana,  Salikin Sidek dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang.

Selain Pameran Tradisi Berfesyen: Tenun Pahang Diraja, turut diadakan Pameran Etnografi Pahang yang bertujuan memperlihatkan kesan perkongsian budaya antara masyarakat pendatang dengan penduduk tempatan kepada umum terutamanya bagi kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli melalui pameran koleksi artifak Muzium Negeri Pahang.

Selain daripada itu, koleksi artifak tersebut juga secara tidak langsung memaparkan kearifan tempatan orang Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu terutama dalam hubungan mereka dengan alam semula jadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×