SAO PAULO – Pemandu Britain, Lewis Hamilton mempamerkan aksi luar biasa apabila muncul juara Grand Prix (GP) Brazil awal pagi semalam, sekali gus membantu Mercedes meraih gelaran sebagai pengeluar terbaik buat kali kelima berturut-turut dalam saingan Formula Satu (F1) musim ini.
Ternyata ia merupakan gelaran paling bermakna buat Hamilton apabila meraih gelaran berganda selepas turut muncul juara dunia F1 buat kali kelima selain melebarkan rekod kemenangan ke-72 dan ke-10 musim ini.
Pada saingan itu, Hamilton memulakan perlumbaan di petak pertama dan menerima tentangan hebat daripada pemandu Red Bull, Max Verstappen yang berjaya memintasnya.
Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Verstappen terlibat dalam pelanggaran dengan pemandu Force India, Esteban Ocon pada pusingan ke-44.
Akibat insiden itu, jentera pemandu Belanda itu berpusing dan membolehkan Hamilton kembali mendahului perlumbaan untuk muncul juara dengan catatan masa 1 jam 27’09.066 saat.
Verstappen bernasib baik kerana masih mampu meneruskan saingan dan berjaya menaiki podium kedua, manakala Kimi Raikkonen dari Ferrari menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
“Pasukan ini (Mercedes) telah bekerja keras sejak enam tahun lalu dan ia merupakan satu perjalanan yang luar biasa untuk mencapai tahap seperti ini. Ini adalah kejayaan kami mahukan selepas bekerja keras setiap hari.
“Saya sering katakan bahawa saya sangat bertuah kerana dapat menjadi salah seorang pemandu Mercedes. Kami berdepan masalah enjin, namun mereka tidak berputus asa dan memberikan jentera terbaik kepada saya,” kata Hamilton. – Agensi











