KUALA LUMPUR – Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan duti eksais pada kadar 40 sen seliter terhadap minuman bergula yang bakal bermula pada 1 April 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, pihaknya memerlukan lebih masa untuk merancang dan menyesuaikan perniagaan terhadap perubahan tersebut.
Ia termasuk merumuskan semula produk sedia ada atau memperkenalkan minuman baharu kurang gula iaitu pada paras tidak melebihi lima peratus yang menerima pengecualian cukai berkenaan.
Yew Hoe turut menyifatkan cukai baharu itu direka untuk meliputi rangkaian minuman yang meluas memandangkan minuman yang layak menerima logo Pilihan Lebih Sihat daripada Kementerian Kesihatan hanya menetapkan paras kandungan gula tidak melebihi enam peratus.
“Sebagai peneraju industri di negara ini, kami menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan mengurangkan pengambilan gula.
“Namun, saya fikir 1 April terlalu awal memandangkan gula bukan suatu yang mudah untuk digantikan dan untuk mencipta produk baharu rendah gula amat kompleks.
“Ia bukan sekadar menambah kuantiti air pada resipi asal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media sempena Keputusan Kewangan Tahunan F&N 2018 yang berakhir 30 September lalu di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan F&N, Tan Hock Beng.
Sehubungan itu, Yew Hoe berpandangan sebarang pengenalan cukai baharu dan kenaikan harga sesuai dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kira-kira 90 peratus daripada rangkaian produk minuman F&N sekarang terlibat dalam pelaksanaan cukai itu meskipun indeks gula pada minuman keluarannya telah berkurang sebanyak 34 peratus sejak tahun 2004.
Pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan duti eksais pada kadar 40 sen seliter ke atas minuman yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram (g) setiap 100 mililiter (ml), selain jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12g bagi setiap 100ml mulai 1 April 2019.











