ALOR SETAR 12 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang meninggalkan UMNO berkuat kuasa hari ini, tidak menolak kemungkinan menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Exco kanan dalam era pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Ada kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti dalam Pakatan Harapan, namun saya perlukan masa untuk berfikir sebelum membuat keputusan.
“Kemungkinan saya akan memilih parti yang dekat dengan perjuangan saya selama ini,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Koperasi Negeri itu, keputusan meninggalkan UMNO dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan dibuat atas beberapa faktor.
“Semuanya demi kepentingan penduduk di Guar Chempedak dan pembangunan negeri Kedah. Selain itu senario politik semasa termasuk kes mahkamah melibatkan pemimpin kerajaan terdahulu memberikan imej tidak elok kepada parti.
“Sebagai Menteri Besar yang pernah melantik saya menjadi Exco pada 2013, saya cukup mengenali Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Saya lihat kerajaan negeri kini ada kesungguhan untuk menjayakan Kedah dan itu antara sebab saya buat keputusan demikian,” katanya.
Tambahnya, beliau berdepan dengan detik-detik sukar untuk membuat keputusan tersebut.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita kecewa dengan kekalahan BN, tetapi saya tidak buat keputusan keluar UMNO pada ketika itu kerana yakin parti akan kembali kuat, bersatu dan bangkit.
“Begitu pun setelah lama membuat pertimbangan, saya akhirnya membuat keputusan ini yang tidak dilakukan secara terburu-buru mahu pun dipengaruhi sesiapa. Tindakan ini dibuat bagi membolehkan saya berkhidmat untuk rakyat di Guar Chempedak dengan lebih mudah,” katanya.











