Perundangan sekat sebar agama - Utusan Malaysia

Perundangan sekat sebar agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SAYA berasa terkejut membaca laporan Utusan Malaysia pada 9 November lalu berkenaan tiadanya Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam di sesetengah negeri bagi membendung kegiatan penyebaran agama lain kepada umat Islam di negeri tersebut.

Antara negeri yang disebut ialah Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Walaupun Pulau Pinang tiada Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam dan Wilayah Persekutuan tiada Akta Kawalan Agama Bukan Islam tetapi peruntukan undang-undang untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam seperti yang termaktub di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sebenarnya sudah wujud di dalam undang-undang negeri tersebut.

Contohnya, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 memperuntukkan di bawah Seksyen 5 bahawa mana-mana orang, sama ada dia beragama Islam atau tidak, yang mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain daripada doktrin atau kepercayaan agama Islam dalam kalangan orang beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Ini bermaksud, tertuduh perlu dihadapkan ke mahkamah majistret dan bukannya mahkamah Syariah seperti dalam kes kesalahan Syariah yang lain.

Peruntukan yang sama turut terdapat di dalam Seksyen 5, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Sebagai perbandingan, Jabatan Agama Negeri Pahang telah mendakwa seorang tertuduh pada 2002 mengikut Seksyen 4, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989.

Di dalam kes Pendakwa Raya lawan Krishnan a/l Muthu itu, tertuduh didakwa telah memaksa seorang wanita Melayu beragama Islam supaya meninggalkan ajaran Islam malah pernah memaksa wanita itu untuk menganut agama Hindu.

Tertuduh telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Majistret Temerloh dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,500 dan penjara selama 20 hari.

Berdasarkan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, dakwaan kononnya pihak berkuasa agama tidak boleh berbuat apa-apa kerana ketiadaan peruntukan sebenarnya tidak tepat dan mengelirukan kerana peruntukan undang-undang sudah sedia ada meskipun bukan dalam bentuk Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam seperti yang terdapat di beberapa negeri lain.

Adakah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang masih merasakan mereka tidak mempunyai kuasa dalam melindungi umat Islam?

DR. MOHAMED HADI 
ABD HAMID

Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×