SANAA 12 Nov. – Sekurang-kurangnya 149 orang termasuk penduduk awam terbunuh dalam tempoh 24 jam ketika pertempuran berlaku antara pasukan tentera kerajaan Yemen dengan kumpulan militan Houthi di Hodeida semalam.
Pegawai ketenteraan mengesahkan seramai tujuh penduduk awam terkorban dalam pertempuran tersebut tanpa memberi maklumat lanjut.
Bandar Hodeida yang dikuasai militan Houthi sejak 2014 merupakan pintu masuk kepada saluran bantuan ke negara ini.
Pertempuran sengit berlaku antara kedua-dua pihak selepas anggota militan Houthi melancarkan serangan besar-besaran terhadap pasukan tentera kerajaan.
Pasukan perubatan di beberapa hospital di sekitar bandar ini melaporkan kira-kira 110 anggota militan dan 32 pejuang Yemen terbunuh dalam pertempuran yang berlaku.
Sumber ketenteraan mengesahkan tentera Yemen yang disokong pakatan tentera diketuai Arab Saudi melancarkan siri serangan udara yang menyasarkan kubu militan.
Hampir 600 orang terkorban dalam pertempuran yang berlaku sejak 1 November lalu di bandar ini. – AFP











