PARIT BUNTAR 12 Nov. – Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengatasi masalah penyakit padi angin dalam kalangan pesawah di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, ancaman padi angin iaitu padi yang mudah terlerai hingga menyebabkan kehilangan hasil tanaman mulai kelihatan di daerah Kerian di sini.
Menurutnya, kerajaan akan berusaha mengatasinya jika masalah itu juga berlaku di kawasan lain di negeri ini.
“Serangan dan kemunculan padi angin kini mula dikesan di petak sawah di kawasan ini. Sebulan lalu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah mengadakan kursus untuk petani mengatasi ancaman padi angin.
“Kerajaan negeri akan memantau masalah ini dan akan memberikan bantuan untuk mengatasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sara hidup kepada nelayan di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf infrastruktur awam di kampung nelayan di Kuala Kurau seperti pembinaan jalan raya lebih satu kilometer untuk mengelak hakisan ombak.
Katanya, selain itu, laluan lintasan jentuai padi akan dibina di Kampung Parit Tok Him, Kuala Kurau selain peruntukan untuk surau, masjid dan rumah ibadat serta sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau.
Jelas beliau, untuk perkhidmatan kepada rakyat, beliau mengadakan program bertemu rakyat pada setiap Jumaat di pejabatnya di Batu 14, Kuala Kurau.











